Thursday, July 6, 2017

DIARI: 1. Adegan di Tepi Jalan

Hari ini aku diberi cuti dari melakukan kerja. Yelah, aku cuma pekerja atau bahasa kasarnya, kuli. Aku bersama kedua ibu bapaku dan adik bongsu ke bandar untuk uruskan bayaran yuran, bil telefon, pengeposan dan beli barang. Lama sudah aku tidak keluar ke bandar nampaknya.

Ada satu ketika, waktu itu kereta yang dinaiki kami melalui satu kawasan jalan raya yang terdapat tempat pembuangan sampah. Sedang aku ralit termenung melihat luar tingkap, mata aku terpaku melihat tempat itu. Bukan sampah- sarap yang merata- rata di lantai jalan, tapi batang tubuh dua orang manusia. Dalam sekilas lalu, pada pandanganku dua insan itu ialah anak- beranak. Atau lebih tepat lagi, ayah dan anak perempuan. Memandai pula aku membuat andaian. Tapi itulah, dari jarak yang sedikit jauh, dapat kulihat pak cik itu agak berusia dengan kepala yang dah beruban manakala seorang lagi masih muda dan bertudung.

Aku nampak apa yang mereka lakukan. Andai aku tidak menjelaskan secara terang, mesti kau sudah faham. Apa lagi yang dilakukan selain membuang sampah? Pastilah mengutip sampah. Mereka bukanlah orang- orang yang bertugas untuk mengangkut semua sampah tambah- tambah lagi di siang hari. Mentari tegak menyinar kepala. Panas sungguh tengah hari ini. Gigih! Begitu ralit dua beranak itu mengumpul barang- barang yang sudah dibuang orang ramai.

Sedikit sahaja melepasi kawasan itu, aku ternampak motosikal. Agak usang dan mempunyai barang yang ku kira telah dikutip oleh mereka dari tempat yang sama Cuma lain kawasan. Kau tahu apa perasaanku waktu itu? Sayu jawapannya. Dalam aku masih mampu teruskan kehidupan tanpa sebarang kesusahan biarpun bukan dari keluarga yang berada atau sering dilimpahkan kemewahan, namun masih ada yang berkali-kali ganda lagi susah. Bukan seorang dua, tapi ramai. Bukan semua orang bernasib baik dan tak semua dikurniakan rezeki yang sama. Bergantung pada Dia. Maka usaha, berdoa dan tawakallah padaNya. Syukur padaMu Ya Allah atas segala yang Engkau kurniakan.

Aku jadi terfikir, bagaimana kelangsungan hidup mereka. Cukup makankah? Punya pelajarankah? Ada duit belanjakah? Sudahlah harga barang kini selalu saja naik dan agak sukar mencari barang yang berharga rendah dalam dunia hari ini. Aku mula untuk hanyut dalam dua watak. Pertama, si ayah yang bertungkus-lumus mencari nafkah untuk keluarga. Kedua, si anak yang rasa bertanggungjawab untuk membantu mencari nafkah keluarga. Dari satu tempat ke satu tempat mencari sumber rezeki. Tidak dikira bau yang kurang menyenangkan. Tidak diambil peduli pandangan mata yang melihat. Tidak jua dipeduli cuaca sama ada panas membahang atau hujan di tengah jalan.

Itulah adegan yang sempat kulihat dalam perjalanan beberapa jam yang lalu. Meluncur kereta membelah kesibukan jalan menuju destinasi yang diingini. Kini, di dalam rumah, baru sahaja aku tersentak mendengar bunyi guruh saling bertingkah di luar secara tiba- tiba. Andai ‘ayah dan anak’ tadi masih merayau mencari hasil barangan terpakai, bagaimana nasib mereka ketika hujan. Adakah letih dan kebasahan?

N.I.N.A
[06.07.2017]


No comments:

Post a Comment