Aku bukan lagi
sekuntum bunga yang sepi
tatkala hadirnya
sang kumbang tidak dikenali
tiba-tiba sahaja mendekati
tanpa aku menyangka
menjadi teman pada akhirnya.
Aku di laman terbiar
tersembunyi di sebalik pagar
sukar untuk didekati
apatah lagi hendak diteliti
termenung diriku akan nasib diri
andai tiada yang ambil peduli
atau sekadar sekilas perhati
mungkin sahaja nanti
akulah si bunga
yang akhirnya layu sepi.
Wahai sang kumbang
telah aku mengizinkan
engkau datang menghinggapi
bukan untuk menodai
sebaliknya sebagai teman sejati
yang menjaga diri ini
dari segala yang menyakiti
dan sebagai penghibur hati
untuk mengubati jiwa nan sepi.
Husnina Zuraidi
Kota Bharu, Kelantan
14 Mei 2022
8.48 pagi
🌹