Monday, June 6, 2022

PUISI : 127. Kunjungan Pertama

Engkau insan pertama
menjadi teman istimewa
yang berkunjung mesra
temui kedua-dua ibu bapa
demi satu niat yang mulia.

Sebelumnya
kita bersua tanpa melihat rupa
sekadar bertentang mata
dan berbalas bicara
tak ubah rakan sekerja
bertemu buat kali pertama
kekok namun cuba untuk mesra.

Tidak pernah terlintas
dalam benakku
kisah engkau dan aku
bakal menjadi satu
kerana awal pertemuan
yang begitu kaku
tiba-tiba bertukar laku
hingga terheret menjadi tetamu
kaujejak ruang tamu rumahku
lalu menghadap orang tuaku
demi sebuah tekadmu
meskipun engkau malu
namun kerana mahu
engkau beranikan dirimu
aku tersentuh dengan caramu.

Kini
diriku telah kaudekati
kediamanku telah kaukunjungi
orang tuaku telah kaukenali
namun
adakah hatiku mampu kaumiliki?
jika diizinkan Tuhan
jawapannya pasti
ya, engkau mampu
semoga urusan engkau dan aku
dipermudahkan oleh-Nya
dari awal pertemuan
sehingga ke akhir perkenalan.

Husnina Zuraidi
Pengkalan Chepa
6 Jun 2022 (Peristiwa)
20 Jun 2022 (Catatan)
10:37 pagi


🌹

Sunday, June 5, 2022

PUISI : 126. Kausentuh Hatiku

Terima kasih
atas segala kesungguhanmu
yang sanggup berjuang
untuk memiliki diriku.

Aku yang tidak pernah
terfikir untuk mengenalimu
kini semakin berusaha
tidak sekadar mencuba
untuk menerimamu
seadanya.

Di awalnya
kaudekati aku
tanpa aku ingini
namun dirimu
tidak terus berhenti
tetap memunculkan diri
bersama perwatakanmu
yang mencuit hati.

Hari berganti hari
aku tidak mampu
terus-terusan menolakmu
kerana melalui doa-doa lalu
diriku terjentik untuk menerimamu
sebagai teman yang baru
maka perlahan-lahan
berlangsungnya sesi perkenalan
antara engkau dan aku.

Terima kasih
atas setiap bicaramu
yang kuanggap
tulus dari lubuk hatimu
hingga menyentuh dasar hatiku.

Terima kasih
atas segala tingkahmu
yang malu-malu tapi mahu
meskipun dalam tidak bersedia
engkau selalu sahaja
bertindak secara tiba-tiba
hingga diri ini
terkelu untuk seketika
tidak mampu meluah kata-kata
namun di sudut hati ini
begitu tersentuh
oleh perilakumu yang bersahaja
namun serius demi kebaikan kita.

Husnina Zuraidi
Kota Bharu, Kelantan
05 Jun 2022
21:37

🌹