Engkau insan pertama
menjadi teman istimewa
yang berkunjung mesra
temui kedua-dua ibu bapa
demi satu niat yang mulia.
Sebelumnya
kita bersua tanpa melihat rupa
sekadar bertentang mata
dan berbalas bicara
tak ubah rakan sekerja
bertemu buat kali pertama
kekok namun cuba untuk mesra.
Tidak pernah terlintas
dalam benakku
kisah engkau dan aku
bakal menjadi satu
kerana awal pertemuan
yang begitu kaku
tiba-tiba bertukar laku
hingga terheret menjadi tetamu
kaujejak ruang tamu rumahku
lalu menghadap orang tuaku
demi sebuah tekadmu
meskipun engkau malu
namun kerana mahu
engkau beranikan dirimu
aku tersentuh dengan caramu.
Kini
diriku telah kaudekati
kediamanku telah kaukunjungi
orang tuaku telah kaukenali
namun
adakah hatiku mampu kaumiliki?
jika diizinkan Tuhan
jawapannya pasti
ya, engkau mampu
semoga urusan engkau dan aku
dipermudahkan oleh-Nya
dari awal pertemuan
sehingga ke akhir perkenalan.
Husnina Zuraidi
Pengkalan Chepa
6 Jun 2022 (Peristiwa)
20 Jun 2022 (Catatan)
10:37 pagi
🌹
No comments:
Post a Comment