Wednesday, August 31, 2022

PUISI : 129. Tautan Merdeka

Tatkala riuh di luar sana
menanti akan tiba saatnya
menyambut malam merdeka
terkurung si anak dara
di ruang kamar yang sepi
masih belum terlena lagi
dan tak mampu menjemput mimpi.

Entah apa yang difikirkan
walhal waktu kian larut malam
tetap segar walau keletihan
hanya termenung di perbaringan.

31 Ogos 2022
telah menjadi tarikh pilihan
oleh si teruna sekeluarga
untuk datang bertandang
ke kediaman teduhan si dara
demi satu hasrat
serta kata sepakat.

Tersipu-sipu si anak dara
melihatkan wajah-wajah yang ada
buat pertama kali bersua
kedua-dua ibu dan bapa
serta beberapa saudara
empunya si teruna.

Tak mampu berdiam di situ
si dara menyembunyikan diri
segan menjadi perhatian
mahupun bahan bualan
oleh kesemua insan
yang memenuhi ruangan.

Bagaikan tersalah tingkah
bersama sedikit resah
di saat semuanya terjadi
sehingga sukar menunjukkan diri
dan menganggap semuanya mimpi.

Namun
yang tak mahu dihadap
tetap kena hadap
apabila diseru oleh si ibu
untuk bertemu barisan tetamu
terus mencanak-canak arus malu
dalam pada berjalan menghampiri
senyum terukir di pinggir bibir
namun entah bagaimana
riak dan ekspresi yang diberi
kebas terasa pada wajah
segan mencacatkan segala tingkah.

Berpasang mata sedang memandang
si dara bertambah segan
apatah lagi nun di sana
lurus di depan mata
terlihat si teruna turut bersama
diam memandang dari kejauhan.

Sudah lama tidak bersua
namun hanya sekilas
jadi tatapan mata
tak terdaya untuk berlama-lama
segan masih memukul jiwa.

Akhirnya
telah terlaksana
hasrat si teruna
membawa keluarga
bertemu si dara
--- syukur pada-Nya.

Husnina Zuraidi
Kota Bharu, Kelantan
21.09.2022
🌹











Tuesday, August 2, 2022

PUISI: 128. Ukiran Nama

Satu notifikasi
muncul di skrin
sebagai tanda
ada kiriman
mesej untukku.

Mesej itu
adalah dari si dia
yang menghantar
satu imej pemandangan
bersama ayat pertanyaan
yang menghadirkan kejutan
diiringi sebuah senyuman
dari diriku yang kaku
untuk sedetik waktu.

Aku melihat
imej itu
sebuah pemandangan
di persisiran pantai
lawa kata hatiku
menjawab pertanyaan
dari si dia.

Akan tetapi
yang menarik perhatianku
adalah ukiran dua nama
di permukaan pasir
yang jelas kelihatan
serta menjadi punca
diriku kelu buat seketika.

Tidak aku menyangka
si dia bertindak sedemikian rupa
meskipun sekadar melakar nama
bagiku ia cukup bermakna
menjadi simbolik utama
kisah kami berdua
iaitu diriku dan juga dirinya.

Husnina Zuraidi
Kota Bharu, Kelantan
30Julai 2022 (Peristiwa)
2 Ogos 2022 (Catatan)
13:33

🌹