Sunday, July 30, 2017

PUISI : 18. Kerana Darjat

Kasih..
Tolonglah aku..
Beritahu padaku..
Bagaimana pengakhirannya?
Cerita cinta antara kita..

Kasih..
Aku tahu..
Dalam hatimu ada namaku..
Dalam hatiku ada namamu..
Kita saling menyayangi..
Tapi apakan daya..
Kerana pantang manusia..
Kisah kita bagai terhalang..

Kasih..
Kau orang berada..
Hidup senang di balik timbunan harta..
Tapi..
Tidak ku impikan itu semua..
Cukuplah bersederhana..

Kasih..
Aku tahu diriku cuma biasa..
Nampak selekeh di pandangan mata..
Tiada harta apatah ternama..
Rupa pula biasa-biasa sahaja..
Cuma hati yang penuh cinta..
Tapi itu semua tiada jaminannya..

Kasih..
Kerana tidak sekufu..
Sukar untuk kita bersatu..
Orang tuamu tidak merestu..
Orang tuaku teragak menerimamu..

Kasih..
Betullah bagai dikata..
Gagak manakan boleh terbang tinggi bersama enggang..
Dan aku mungkin terlupa..
Kau laksana si merak kayangan..
Aku laksana si gagak hitam..
Tak layak mendampingimu..

         MekNina
#SiPengayatSukaHati
#SiPencontengSukaHati



30072017

Friday, July 28, 2017

PUISI: 17. Pemutar Kata

Entah mengapa..
Diri bagai kebingungan..
Terselit juga kemarahan..
Hanya kerana madah..
Si dia yang ungkapkan..

Tiap patah katanya..
Bagai tak mampu diterima akal..
Awal bicara begitu..
Akhirnya begini..
Dalam dia memuji..
Banyak yang dikeji..
Bila dia berjanji..
Akhir saatnya dia mungkiri..
Inilah contohnya..
Umpama cakap tak serupa bikin..

Apakah aku yang salah mendengar?
Atau dia yang salah bicara?
Mungkinkah dia suka memutar kata?
Hingga diriku pula terpedaya..

Jika dia katakan soal fakta..
Boleh jadi ia cuma auta..

Andai bicara itu benar..
Kiranya lega jika medengar..
Jika sebaliknya..
Adakah aku bersubahat dalam fitnah?
Menabur tohmanan atas sesuatu..
Hakikatnya kepastian tiada dipersoalkan..
Andai aku yang terlibat cuma..
Masih aku tabah berdepan dia..
Jika sebaliknya..
Perlukah aku menjauhi dia?

Jagalah wahai pemutar kata!
Usah lagi berdolak- dalih..
Tak perlu kau bermuka- muka..
Bagaikan talam dua muka..
Apatah memutarbelit cerita..
Bimbang ada yang tak mampu bertahan..
Lalu dirimu mula ditinggalkan..

Jagalah bicara!
Tak usah lagi jadi pemutar kata..
Kelak kau pula binasa..

          MekNina
#SiPengayatSukaHati
#SiPencontengSukaHati



28.07.2017

Thursday, July 27, 2017

PUISI: 16. Kacaknya Dia

Aduhai..
Sungguh tampan di pandangan mata..
Melihat dia tersenyum mesra..
Melihat dia sopan dalam bicara..
Melihat dia tenang hadapi segala..

Tertarik sudah..
Hati ini ternyata..
Bagai tertarik pada yang menarik..
Tidak hanya pada wajah..
Tapi indah pada segala tingkah..

Kacaknya dia..
Sekilas terlihat punya pesona..
Kacak memikat pada gaya..
Tak mampu ditepis segala aura..
Adakah diri terpaut padanya?

Kacaknya dia..
Tak perlu rapi berhias muka..
Tetap tenang melihat rautnya..
Tidak bertingkah romeo segala..
Tetap tergoda akan si dia..
Tiada busana mewah berjenama..
Tetap terpaku kala melihatnya..

          MekNina
#SiPengayatSukaHati
#SiPencontengSukaHati



27072017

Monday, July 24, 2017

PUISI: 15. Cantiknya Dia

Aduhai..
Sungguh indah di pandangan mata..
Melihat dia tersenyum mesra..
Melihat dia sopan dalam bicara..
Melihat dia ayu tiada terdedah sini sana..

Tertawan sudah..
Hati ini ternyata..
Bagai tertawan pada yang menawan..
Tidak hanya pada wajah..
Tapi indah pada segala tingkah..

Cantiknya dia..
Sekilas terlihat punya pesona..
Anggun memikat pada gaya..
Tak mampu ditepis segala aura..
Adakah diri terpikat padanya?

Cantiknya dia..
Tak perlu berhias muka segala..
Tetap tenang melihat rautnya..
Tidak bertingkah manja menggoda..
Tetap tergoda akan si dia..
Tiada busana menyilaukan mata..
Tetap terpaku kala melihatnya..

          MekNina
#SiPengayatSukaHati
#SiPencontengSukaHati



24072017

Monday, July 17, 2017

PUISI: 14. Tunduk Menyembah

Manusia..
Insan yang bergelar khalifahNya..
Berlegar-legar di ruang bumi yang fana..

Manusia..
Insan yang mudah pelupa..
Hanya kerana leka dan alpa..
Dalam mengejar dunia semata..
Akhirat dibiarkan saja..
Tak sedar rupanya diri telah dimurka..

Ingatlah saudaraku..
Kau dan aku adalah satu..
Hamba yang dicipta oleh Dia..
Menjadi umat pada kekasihNya..
Kenapa makin lama makin jauh dari Dia?
Dia yang bergelar Allah, Tuhan kita..
Kenapa makin lama makin lupa wasiat baginda?
Baginda yang bergelar Muhammad, nabi kita..

Wahai saudaraku..
Bicaraku bukan hanya untukmu..
Malah untuk peringatan diriku..
Yang turut punya kekurangan sepertimu..
Mudah tergelincir dalam lautan nafsu..
Serta bisikan- bisikan syaitan tak putus menghasut selalu...
Sungguh aku hina Ya Tuhanku!

Tunduklah saudaraku..
Rebahkan kedua lututmu..
Jatuhkan kepalamu..
Yang selalu angkuh dalam laku..
Sujudlah dengan kerendahan hatimu..
Mengharapkan rahmat TUHAN..
Juga mohon segala keampunan..

Sembahlah saudaraku..
Akan TUHAN kita yang satu..
Jangan pernah kau bersekutu..
Sedang Dia yang mencipta kita..
Sedang Dia yang menebarkan rezeki hambaNya..
Sedang Dia yang memberimu nyawa..
Sedang Dia yang mengambil nyawa..
Entahkan bila masa terakhir kita..
Jangan lupa terus tunduk menyembahNya..
Sebelum ajal menjemput kita..

Di alam seterusnya..
Harta, pangkat dan penat dunia bakal lenyap..
Doa, ilmu bermanfaat dan sedekah jadi pahala berterusan..
Tak lupa juga..
Solat jadi perhitungan..
Pentingnya ia adalah hitungan pertama!

Maka aku tegaskan kembali..
Tunduklah sembah Ilahi!

          MekNina
#SiPengayatSukaHati
#SiPencontengSukaHati


17072017

Saturday, July 15, 2017

PUISI: 13. Jatuh Tersungkur

Dari satu anak tangga..
Meniti lagi satu anak tangga..
Terus mendaki puncak..
Demi mencapai apa yang dicita..

Bermulanya dari bawah..
Akhirnya di atas..

Dalam setiap langkah..
Pasti ada dugaan menjengah..
Yang mana kuat mampu hadapinya..
Yang mana lemah mungkin berputus asa..

Ingatlah..
Di saat tersalah langkah..
Atau tersesat arah..
Terkapai dalam mencari tujuan..
Hingga jatuh tersungkur..
Itulah saatnya..
Benteng kesabaran mula diuji..
Pertahanan iman mengawal diri..

Manusia sering berkata..
Andai jatuh bangun semula..
Andai rebah bangkit kembali..

Tapi manusia berkali lupa..
Andai jatuh terus salahkan Dia..
Andai rebah baru mencari Ilahi..

Mulakan langkahmu kalimah basmallah..
Akhirkan langkahmu kalimah alhamdulillah..

Jika berjaya..
Jangan angkuh mendongak langit..
Bimbang jatuh tersembah bumi..

Jika gagal..
Usah terhenti pada satu hentian..
Teruskan mencari jalan..

Walau berkali jatuh..
Moga tak tersungkur dalam lembah dosa..
Biarlah tergelincir dek elakkan landasan noda..
Asal tak berubah menjadi hina..
Dan berani bangkit melawan dusta..

Parah!
Jika awalnya kau ada segala..
Kerana kau yang alpa..
Akhirnya kau tiada apa..

Barakah!
Mulanya kau tiada apa..
Kerana kau yang usaha..
Akhirnya punya segala..

Pesanku..
Susah senangmu..
Ingatlah Tuhan yang satu..

           MekNina
#SiPengayatSukaHati
#SiPencontengSukaHati



15072017

Friday, July 14, 2017

DIARI: 7. Maggi KETAM

Masa mula-mula femesnya masakan maggi ketam, Shah bukan main lagi order bila makan kat kedai.. Amboi, bab makan bukan main.. Waduh, Nina.. Cakap orang.. Diri sendiri tu kalau bab makan memang nombor satu.. Bila la nak turun berat kalau dah selalu macam tu..

Malam ni keluarga aku pegi makan luar.. Jauh jugak perjalanan tu.. Lebih setengah jam rasanya.. Kami memang jenis jarang makan luar.. Melainkan kalau keluar jalan- jalan atau terasa nak makan ramai- ramai terutamanya kalau time semua ada.. Beli bungkus makan kat rumah tu biasa la.. Kitorang gi makan kat kedai yang pernah aku datang sebelum ni dengan family jugak.. Ni kali kedua la..

Aku order maggi ketam tu la.. Maggi lagi! Aiyooo, kuat sungguh makan maggi minggu ni.. Hurmm.. Ni semua salah adik- adik aku la.. Dorang pakat- pakat order benda tu.. Aku pon nak order jugak.. Lagipon dah terlalu lama tak makan ketam ni.. Hehe..

Umi, abah, mak ngah & ayah ngah pulak macam biasa.. Selera dorang opkos la lebih kepada nasi-dan-lauk.. Termasuk ngan Ngah sekali tapi kali kedua dia order pula maggi ketam jugak.. Terliur la tu.. Hehe.. Masa makan, kemain bersungguh aku dan adik- adik patahkan kulit ketam dan cari isi dia.. Korek punya korek, Puteri Bongsu atau Orang Tua yang minta.. Asyik- asyik tanya je aku apa benda tu dalam mangkuk.. Aku kata la ketam.. Tapi tiap kali dia mintak isi ketam tu, dia panggil ayam.. Alahai, awak ni.. Kenapa kiut ek?! Berulang kali aku dan Bongsu main sebut nama ketam.. Bila dah kenal, berlagak budak tu.. Sengaja tanya kat abah pastu dia yang jawab.. Time aku dok usik- usik nak kepit dia guna sepit ketam tu reti pula nak nangis.. hehe.. aku lagi la suka usik tengok muka cuak dia.. tapi abah larang aku.. so, bertukar jadi baik semula..

Best jugak suasana malam ni.. Cuma sepanjang perjalanan tu aku tengok sunyi je.. Gelap pulak tu.. Jadi terfikir pula kalau duduk kat kota metropolitan waktu- waktu gitu, mesti suasana terang benderang dan jalan pon sesak kemain lagi.. Yang tak bestnya adalah masa kat kedai makan tu.. Na tunjukkan aku seekor katak ada kat belakang aku.. HUHUHUHUHU.. Geli nya.. Kucing pon ada.. Yang ni OK la.. Bongsu pon suka.. Asyik mengiau je Bongsu tu.. Tau la jumpa sedara!

Masa OTW balik rumah, ingatkan nak gi amik angin kat laut tapi cancel sebab macam sunyi sangat je.. Dah la gelap, takde orang pulak tu.. So, kembali ke Teratak Hijau (aku namakan rumah kitorang.. hehe.. saja je) la kita.. K, aku nak gi minum air milo pulak ni.. Masa kat kedai tadi aku tak order air.. Sengaja! Sebab aku nak minta je kat adik- adik..  

N.I.N.A
[14.07.2017]

DIARI: 6. Barcelona VS Real Madrid

Haaa.. petang ni aku try main PS ngan adik aku.. Panggilan manja dia Kakak. Duduk main depan laptop je.. Laptop tu sebenarnya kepunyaan sepupu aku tapi adik laki aku, Ngah pegi pinjam ngan dia.. Dah lama aku nak try tapi entah kenapa asyik tengok je adik- adik aku yang main.. Sebelum ni pernah lawan PS ngan adik- adik depan TV tapi yang tu main lumba MOTOGP.. Haha.. Dah agak lama jugak tak main sebab rosak.. Aku terer kot main ‘konar leper’ tu sume.. Kacang je.. Pastu terbabas dan terbalik motor.. Macam dalam drama, HERO mesti takkan mati punya.. Jadi, dengan gagah perkasanya yang terbalik motor jatuh tergolek- golek terpusing tengok dunia tu dalam sekelip mata boleh merempit dan pecut tahap maksima..

Petang tadi aku main BOLA SEPAK kot.. Aku mengaku langsung tak reti main.. Nasib baik Kakak ajar jugak pasal butang- butang tu semua.. Yang mana nak shoot, attack dan pass bola.. Tapi biasa la, nama pon amatur yang baru nak belajar main, memang ikut sukahati aku la tekan je mana- mana butang.. Dah la tak tahu mana satu ‘aku’ dalam perlawanan tu.. Nasib dia ada anak panah jadi petunjuk untuk posisi aku.. Tapi nak buat macam mana, dah namanya tak reti.. Main taram je la..

Dapat pass bola pon OK.. Bukan setakat OK, tergelak sendiri pon ada.. Tangan bukan main laju tekan- tekan entah butang yang mana satu.. Mata pulak melilau- lilau tengok pemain- pemain dan reaksi penonton.. Bukannya fokus pada perlawanan pon.. Aku mulanya tak tahu aku ni main untuk pasukan apa.. Dah orang yang tolong settingkan, aku ikut je.. Tapi yang pasti tadi Kakak bagitahu aku punya pasukan jersi kaler putih.. Dalam pada mata aku melilau masa lawan, aku nampak pasukan aku ada muka Cristiano Ronaldo.. Hehe.. Yang lain tak cam.. Masa tamat main baru lah aku tahu aku ni Real Madrid.. Dah rasa dah sebab CR tu ada.. Tapi sebabkan aku terlalu ‘terer’ aku berjaya kalahkan pihak sendiri dan memenangkan pihak lawan iaitu Barcelona dengan mata 0-1. Pipppppp…OK, wisel tamat!

N.I.N.A
[14.07.2017]

PUISI: 12. Sengketa Saudara

Darah yang mengalir memang sama..
Kau berwarna merah..
Aku tiada yang berubah..
Dia jua begitulah..

Kau, aku dan dia..
Datang dari nasab yang serupa..
Turut punya iras seakan sama..
Berbin dan binti pada satu bapa..
Datang dari rahim seorang wanita..
Susu ibu pula bergilir rasa..
Namun mengapa..
Tetap ada saling bertingkah..
Tak pernah jemu bertelagah..
Tak sudah bertikam lidah..
Bila akan terhenti segala sengketa?
Entahlah!

Kata pepatah..
Air dicincang takkan putus..
Maka aku akui..
Benarlah umpama pertalian kita..
Adik-beradik lebih tepat dikata..
Walau sejauh mana jarak antara kita..
Walau sebesar mana batas menghalang kita..
Walau sedalam mana sengketa kita..
Tetap tiada yang mampu memutuskan kita..
Kerana kau, aku dan dia adalah saudara..
Cuma tunggu masa kita damai bersama..

Saat wujudnya sengketa saudara..
Kau di sana..
Aku di sini..
Dia di situ..
Bilakah akan kembali bersatu?
Sebagaimana waktu dulu-dulu..
Saat berseminya kasih saudara..

Saudaraku..
Mari kita duduk bersama..
Luahkan segala rasa..
Selesaikan kekalutan yang ada..
Usah lagi saling mengata..
Apatah terus bermasam muka..
Andai di lubuk hati jelas terasa..
Kasih dan rindu sesama kita..

          MekNina
#SiPengayatSukaHati
#SiPencontengSukaHati


14072017

Thursday, July 13, 2017

DIARI: 5. Yeay, FIVE STARS!

Di luar rumah itu, di mana ruang ‘stage’ menjadi ruang kerja keluarga, ku hidangkan kira- kira seteko teh susu bersama kuih lepat yang dibeli oleh abah di hadapan adik sepupuku.. Ditanya olehnya, sama ada umi atau aku yang membuat teh.. Maka aku katakan aku..

Adat manusia bersopan dengan orang, pastinya akan mengatakan dia bagaikan menyusahkan aku terpaksa hidangkan minuman.. Tapi tidak, aku OK je malah aku yang rela.. Memandangkan abah bagitahu kat rumah ada kuih, maka lagi molek kiranya aku pulang dan kembali bersama dulang..

Sebaik sahaja dulang diletak dengan berhati-hati, aku pelawa dia untuk minum.. Terus di’tarik’ olehnya teh yang masih hangat berasap itu.. Maka jadilah teh tarik!

Apabila dia menghirup the tarik yang masih berasap nipis, segera ditelan tegukan pertama dan tiba- tiba kulihat wajahnya berubah teruja..

“Sedapnya!” Terkejut aku dengan perkataan itu.. Mana taknya, TIBA-TIBA tau..

Aku hanya senyum menggelengkan kepala.. Iye.. iye je dia ni.. Lepas beberapa ketika, dia kata, “Kalau macam ni, Acik (bukan nama sebenar) bagi 5 bintang ni! Sedap sungguh.” Hahaha.. Aku tergelak.. Sebabnya geli hati tengok muka bersungguh dia dan tak tahu nak kata apa.. Nak kata perli macam melampau je.. Kalau betul dipuji lega juga hati ni.. Alhamdulillah, nasib baik kena dengan selera tekak dia..

“Tengok la anak sapa? Ni kan anak umi!” Sengaja aku berkata dalam nada riak mengusik dia.. Tapi dia iyakan dan kata memang sungguh la anak umi..

Sebenarnya kalau diikutkan memang dalam family besar kitorang umi ni femes dengan teh tarik dia.. Sejak aku kecil lagi.. Mungkin tambah- tambah pulak abah aku ni kaki teh tarik.. Tak dapat minum secawan besar sehari boleh dapat sakit kepala kot! Hehe.. Aku pon baru jugak start buat air teh ni semua.. Selalunya tengok je umi buat untuk abah.. Yang biasa aku buat, teh o la.. Nasib baik umi ada ajarkan sikit- sikit pastu dia yang try masa aku mula- mula buat. Seingat aku, time tu umi kata dah PASS untuk permulaan.. Alhamdulillah.. Yang mana boleh ditingkatkan, kita buat elok- elok pula untuk next time.. Bukankah hidup ini jugak satu proses pembelajaran?

Nak kata aku ni terer takde la.. Sebab aku mana reti bab memasak.. Basic je boleh la.. Ikut S.U.K.A.H.A.T.I dan ikut selera aku je.. Selagi orang lain berselera dan tak sakit- sakit tu kira ok la.. Huhu.. Sepanjang dalam minggu ni, ini kali kedua aku dapat pujian dari Acik.. Mentang- mentang la hari tu aku sediakan teh O, terus dapat OK.. Mulut manis sungguh si gadis manis adik sepupuku ini.. Untuk kedua- dua kalinya dapat pujian melambung sampai BINTANG.. Nasib la ini aku hidangkan personal depan dia.. Biasanya sebelum- sebelum ni family dia.. Hahaha.. Kalau tak, mengembang la aku kenyang makan pujian campur perlian.. Hahaha.. Tak baik RIAK! Hehe.. Bukan nak meriak tapi nak melucu sebab lawak dengan gelagat dia.. Aishh, teringat TEH TARIK la pulak.. Hurmmm.. tapi rasanya nak pergi buat NESCAFE KAW yang umph!! Huhu.. Bye!

N.I.N.A
[13.07.2017]

DIARI: 4. Nak BABY Boy!

Di ruang tamu itu, kelihatan lima beranak sedang santai berbual dan bergurau senda.. Aku, umi dan adik- beradikku seramai tiga orang selesa sembang kosong dengan posisi masing- masing iaitu di lantai dan kerusi.. Yang bongsu seakan tenggelam dalam dunianya sendiri bermain- main sambil sesekali menempel- nempel berdekatan umi. Biasalah, kecil lagi.. Baru je beberapa tahun menjengah alam dunia. Tapi yang pasti, dia amat petah apabila berbicara dan sikapnya juga kadang- kadang tidak seiring dengan usianya.. Cuma manjanya dia sebagai bongsu itu adalah satu kepastian yang lagi nyata.. ‘Puteri bongsu’ umi dan abah.. Tapi maaf aku katakan, kerana dari dulu aku sering menggelarnya ‘ORANG TUA’.. Hehe.. Kerana perwatakan dan pakaiannya itu yang menjadikan dia nampak macam orang- orang dewasa.. Tak habis- habis dengan baju ‘kelawar’ dia yang bunga- bunga tu.. Dah la selalu pakai selipar orang dewasa.. Berkali ganda besar selipar daripada tapak kakinya yang kecil itu.. Haish! Sudah la, cukup setakat itu dulu aku gambarkan tentang ‘ORANG TUA’ tak sedar diri itu.. Nanti dijelingnya aku.. Pstt, dia pandai jeling orang tau!

Sedang rancak kami berbual, entah macam mana topik tentang baby terkeluar.. Aku pon lupa kisah apa yang aku ngan dorang bualkan dari awal.. Sebenarnya, adik- adikku lagi dua orang tu (tidak termasuk ‘ORANG TUA’) masih alam sekolah rendah.. so, takdelah topik berat- berat.. Lebih kepada bergurau dan bertikam lidah.

“Abang nak baby boy!” Tersentak aku dibuatnya..

Abang atau lebih ringkas ‘Abe’ dah buat permintaan mengarut. Adik aku tu memang.. Kecik- kecik pon bukan main lagi kalau dah buat perangai.. Opss, termengumpat la pulak! Aku tanya la nak buat apa ngan baby boy tu kalau aku bagi dia.. Ada ke patut dia cakap nak main ngan baby tu.. Nak gusti- gusti la.. Huhu.. Lenyek jugak budak kecik tu..

“Haa, nanti kalau jadi bagi baby boy, bagi nama Danish.” Pulak dah!

Bukan setakat nama Danish, macam- macam lagi dia senaraikan tau.. “Abe sebut nama-nama kawan dalam kelas Abe ke tu? Sedap- sedap je semua nama tu.” Aku saja je tanya nak test dia, sebab kemain laju nama- nama yang best dia sebut.

“Haah.. Takpun letak je nama Abe.” Disuruh letak nama penuh dia pulak.. Bukan tu je, nama sepupu kitorang yang sebaya dia kalau tak silap aku dia suruh letak jugak kalau baby tu ada dua. HUKALOH! Sebelum tu aku ada usik nak letak nama- nama pakwe (macam la ada.. huhu) je la kat baby boy.. Aku sebut nama sepupu kitorang yang baya dia tu.. Terus dia setuju je.. Haha.. Gini la adat kalau sembang ngan budak.. Sabar je la akak ni!

Kakak pada dia lagi la.. Nak senang, kita panggil dia Na je la ek.. Ada ke patut tiba- tiba dia beralih duduk dari kerusi sebelah aku pergi dekat sofa sambil kat tangan belek- belek sebuah buku.. Pastu mulut dia tu galak panggil- panggil aku sambil bagi senarai nama- nama.. Aku dah terpinga- pinga.. Bila aku perati buku kat tangan budak tu rupa- rupanya Na sedang baca buku nama- nama untuk bayi- bayi yang selalu umi guna dulu- dulu.. Buku tu dah lama kot.. Cover pon dah rabak habis! Entah ke mana melayang..

“Kalau untuk lelaki nama BLA BLA BLA.. Kalau perempuan pulak BLA BLA BLA……” Tergelak je aku mampu.. Untuk dua- dua jantina terus.. Berderet pulak namanya.. Belum lagi disebut kalau ikut initial nama yang aku nak.. Dia main bagi je.. Aduyaiii.. Macam- macam ragam sungguh.. Nasib baik time ni masing- masing tak buat perangai nak gaduh- gaduh.. Tapi masing- masing nampak teruja.. Tambah –tambah, datang pulak lagi sorang adik- beradik kitorang yang lain ni..

Nak teruja lebih- lebih tak boleh.. Sebabnya mak bonda aka umi aku tu dah kata, “Lambat lagi nak boleh pon!!”. HAHAHAHA.. Tetap dorang buat tak layan.. Haiiih, apa la adik- adik aku nih.. Kakakmu ini masih muda dan belum lagi berumah tangga.. Tak terfikir pulak olehku sampai begitu sekali KETERUJAAN dorang.. Kalau ada rezeki, jodoh dan panjang umur, mungkin aku mampu merealisasikan impian diorang dengan izin ALLAH SWT.. Amiin..

N.I.N.A
[13.07.2017] 

PUISI: 11. Rupanya Terlena

Gelap..
Segala yang ada tiada terlihat..
Tiba- tiba..
Sedar mula menjengah..
Hadirkan signal pada minda..
Rupanya aku tengah lena..

Gelap itu..
Memang benar..
Kerana mata yang terpejam..
Tak mungkin nampak apapun terbentang..

Aku mula terjaga..
Kelopak mata turut terbuka..
Dan hati mula berdoa..
Lafaz syukur tanda masih bernyawa..

Sebaik terjaga..
Aku agak terpinga-pinga..
Macam mana boleh terlena?
Adakah mimpi datang menjelma?
Bagaimana segala kerja?
Selesaikah atau terbengkalai cuma..
Terus..
Yang baring mulai duduk..
Dari duduk bangkit berdiri..
Maka langkah pertama dimulakan..
Kerana sedar mula mengambil alih..
Melepaskan kantuk yang menghimpit diri..

Untuk seketika..
Aku rupanya telah terlena..


          MekNina  
#SiPengayatSukaHati
#SiPencontengSukaHati



13072017

Tuesday, July 11, 2017

DIARI: 3. Maggi HOT MEALZ!

Maggi HOT MEALZ! Kari Kari Kaw Maggi HOT MEALZ!


Dah berkali-kali aku tengok iklan pasal keluaran terbaru produk Maggi ni kat TV.. Tapi tengok je la.. Niat nak beli tu belum ada.. Tetiba semalam terasa nak makan maggi.. Tambah- tambah lepas tu tertengok adik aku tengah sedia nak makan maggi cup.. Huhu.. Aku tanya la dia ada nampak tak maggi cup baru kat tempat dia beli tu.. Tapi dia tak perasan la pulak.. So, dia assume takde jual..

Pastu petang semalam, adik laki aku yang lain ada cakap dia baru try maggi yang aku nak ni. Katanya ada jual kat market tu.. Yeay, cerah masa depan! Tengah ‘mengidam’ ni.. Tapi terkilan sikit sebab sampai hati dia tak ajak aku try sekali.. Sikit pon jadi la.. Hehe.. Then, dia janji nak belikan aku lepas balik sekolah petang keesokan harinya..

Jadi, inilah harinya.. Bagi je duit kat dia RM 4.00.. Masuk je waktu petang, Maggi HOT MEALZ yang dinanti sampai dalam plastik bersama taburan baki syiling 80 sen.. Servis penghantaran depan bilik ok! Hehe.. FREE delivery..


Maggi HOT MEALZ! Kari Kari Kaw


“APA YANG LAZAT SANGAT DENGAN MAGGI HOT MEALZ KARI KARI KAW?”

Haa.. tu dia apa yang aku nampak kat mangkuk maggi ni.. Kalau nak tau meh aku bagitahu apa yang ada tercetak kat situ..
1.       Mi kenyal yang diperbuat daripada bijrin gandum yang diimport dari Australia.
2.       Sup kari “kaw” yang diperkaya dengan cili sebenar dan minyak paprika.
3.       Campuran 12 rempah kari yang dimasak sehingga wangi dan pecah minyak.

Ku bukakan lapisan luar yang dibalut plastik kosong dengan sebaik mungkin.. Lalu jariku
menyentuh hujung penutup bekas itu yang tertulis "KEBAHAGIAAN BERMULA DI SINI
(tersengih sendiri aku melihatnya).. Terus aku menarik naik untuk menceraikan penutup nipis itu
dari menyembunyikan 'kebahagiaan'ku yang ada didalamnya.. Lalu tersembullah 'kebahagiaan'
yang dinanti- nantikan..



CARA PENYEDIAAN:

Alaa.. yang ni memang senang.. Tambah- tambah macam aku ni.. Dah selalu sangat makan ‘maggi rendam’ atau bahasa kasarnya ‘maggi “bodo”’ sebab just rendam air panas tanpa sebarang bahan masakan.. Jom tengok cara yang diberi:


1.       HANYA tambah air panas. Just add hot water. (Kan dah kata, letak air panas je..)

Maggi HOT MEALZ! Kari Kari Kaw

2.       Tunggu selama 3 minit, kacau, sedia dimakan. Wait for 3 minutes, stir and ready to serve. 




Jangan lupa letak perencah rasa yang ada ye! Kepada belum try lagi, kat dalam tu ada 3 jenis perencah yang disediakan..

Maggi HOT MEALZ! Kari Kari Kaw










1.       KIRI         - Minyak
2.       TENGAH - Serbuk perencah kari (aku suka yang kari punya sebab pedas..)
3.       KANAN   - Hirisan- hirisan cili dan daun bawang (kot.. entah main agak je.. hehe)

Dah settle masuk semua benda tu.. kacau- kacau guna garfu plastik yang diberi.. terus masuk mulut.. tapi jangan lupa ye, baca doa dulu.. oleh kerana saja nak ber’feeling’2 time makan, aku makan la sambil layan drama yang ada kat laptop..

Bagi aku, maggi yang ni boleh dikatakan best jugak la.. Lagipon aku masukkan air panas takde la banyak mana.. So, rasa dia lagi “kaw” la.. Baru umphh! Sedikit peringatan untuk diri sendiri dan semua, kurangkan makan makanan segera ye..

Aku ni sebenarnya budak hostel.. Duduk je asrama ke kolej sebelum ni memang tak lepas daripada makan makanan segera tu semua.. “Sebab UTAMA adalah nak jimat bajet”, kata si budak hostel.. Iye.. iye je.. Tapi memang pon, wajib ada prepare stok makanan segera bila dah kering duit atau terpaksa guna wang belanja untuk perkara yang lebih penting atau rasa lapar waktu tengah malam ke malas nak gi cari makanan atau tetiba mengidam macam yang ni, memang ‘dia’ lah yang dicari dan diselongkar dalam sudut loker.

Nak makan boleh, cuma berpada- pada dan elakkan selalu hadap makanan segera ni.. Hailah.. Nak buat cane.. Yang tak boleh tu yang la sedap dan menarik perhatian..

N.I.N.A
[11.07.2017]

Monday, July 10, 2017

DIARI: 2. Lawak yang Menjadi!

Aku berada di tempat biasa aku duduk apabila bersama- sama ahli keluarga yang lain melakukan kerja- kerja pembungkusan. Hanya luar rumah tapi masih lagi dalam kawasan rumah kami. Atau lebih tepat di dalam hujung garaj kereta. Waktu tu aku masih keseorangan. Yang lain belum datang.

Waktu aku sedang fokus nak buat kerja- kerja yang ada di depan mata, datang la mak saudara aku duduk berdekatan. Depan aku je. Tempat kerja kami lebih santai sebab boleh duduk bersila beramai- ramai. Macam ruang ‘stage’ untuk buat persembahan tu. Pastu barang- barang disusun atas tempat sama di satu sudut. Senang! Nak buat kerja, ambil je barang- barang pastu duduk dan buat je sampai habis.

Sambil- sambil tu aku dan mak saudara aku ni berbual kosong. Tetiba dia tanya, “Datang guna kereta ke?”. Aku mula- mula blur. Takkan la aku pula sebab rumah kan kat sini je. Jalan je la. Berapa langkah aje pon. Bila dia ulang balik soalan, aku ingatkan dia tanya pasal sepupu aku. Bila dia kata soalan dia merujuk pada aku, aku kata la tak. Series je muka dia bertanya.

“Oh, ingatkan datang dengan kereta. Tu!” Kata mak saudara sambil tunjuk ke bawah sebelah ‘stage’ kami guna isyarat muncung. Aku tengok tempat dia tunjukkan. Terus aku tergelak. Terketar- ketar tangan yang sedang pegang barang. Belakang aku ni tak payah cerita lah. Tapi memang aku nak cerita. Terhenjut- henjut sebab ketawa. Dia pon senyum je.


pencontengsukahati


Kenapalah lucu sangat mak saudara aku ni? Spontan pulak tu! Jelas- jelas dia tunjuk kereta mainan kat aku. Adik aku punya tu. Dah la saiz kereta tu besar sikit je dari penumbuk aku. Kalau besar camtu, bukan kereta tu yang tumpangkan aku, tapi aku yang tumpangkan dia. Pegang je guna sebelah tangan. Pastu lambung tinggi- tinggi. Barulah nangis tuan punya kereta bila dah terlerai segala anggota badan termasuklah tayar sebesar penutup botol air.

N.I.N.A
[10.07.2017]

Thursday, July 6, 2017

DIARI: 1. Adegan di Tepi Jalan

Hari ini aku diberi cuti dari melakukan kerja. Yelah, aku cuma pekerja atau bahasa kasarnya, kuli. Aku bersama kedua ibu bapaku dan adik bongsu ke bandar untuk uruskan bayaran yuran, bil telefon, pengeposan dan beli barang. Lama sudah aku tidak keluar ke bandar nampaknya.

Ada satu ketika, waktu itu kereta yang dinaiki kami melalui satu kawasan jalan raya yang terdapat tempat pembuangan sampah. Sedang aku ralit termenung melihat luar tingkap, mata aku terpaku melihat tempat itu. Bukan sampah- sarap yang merata- rata di lantai jalan, tapi batang tubuh dua orang manusia. Dalam sekilas lalu, pada pandanganku dua insan itu ialah anak- beranak. Atau lebih tepat lagi, ayah dan anak perempuan. Memandai pula aku membuat andaian. Tapi itulah, dari jarak yang sedikit jauh, dapat kulihat pak cik itu agak berusia dengan kepala yang dah beruban manakala seorang lagi masih muda dan bertudung.

Aku nampak apa yang mereka lakukan. Andai aku tidak menjelaskan secara terang, mesti kau sudah faham. Apa lagi yang dilakukan selain membuang sampah? Pastilah mengutip sampah. Mereka bukanlah orang- orang yang bertugas untuk mengangkut semua sampah tambah- tambah lagi di siang hari. Mentari tegak menyinar kepala. Panas sungguh tengah hari ini. Gigih! Begitu ralit dua beranak itu mengumpul barang- barang yang sudah dibuang orang ramai.

Sedikit sahaja melepasi kawasan itu, aku ternampak motosikal. Agak usang dan mempunyai barang yang ku kira telah dikutip oleh mereka dari tempat yang sama Cuma lain kawasan. Kau tahu apa perasaanku waktu itu? Sayu jawapannya. Dalam aku masih mampu teruskan kehidupan tanpa sebarang kesusahan biarpun bukan dari keluarga yang berada atau sering dilimpahkan kemewahan, namun masih ada yang berkali-kali ganda lagi susah. Bukan seorang dua, tapi ramai. Bukan semua orang bernasib baik dan tak semua dikurniakan rezeki yang sama. Bergantung pada Dia. Maka usaha, berdoa dan tawakallah padaNya. Syukur padaMu Ya Allah atas segala yang Engkau kurniakan.

Aku jadi terfikir, bagaimana kelangsungan hidup mereka. Cukup makankah? Punya pelajarankah? Ada duit belanjakah? Sudahlah harga barang kini selalu saja naik dan agak sukar mencari barang yang berharga rendah dalam dunia hari ini. Aku mula untuk hanyut dalam dua watak. Pertama, si ayah yang bertungkus-lumus mencari nafkah untuk keluarga. Kedua, si anak yang rasa bertanggungjawab untuk membantu mencari nafkah keluarga. Dari satu tempat ke satu tempat mencari sumber rezeki. Tidak dikira bau yang kurang menyenangkan. Tidak diambil peduli pandangan mata yang melihat. Tidak jua dipeduli cuaca sama ada panas membahang atau hujan di tengah jalan.

Itulah adegan yang sempat kulihat dalam perjalanan beberapa jam yang lalu. Meluncur kereta membelah kesibukan jalan menuju destinasi yang diingini. Kini, di dalam rumah, baru sahaja aku tersentak mendengar bunyi guruh saling bertingkah di luar secara tiba- tiba. Andai ‘ayah dan anak’ tadi masih merayau mencari hasil barangan terpakai, bagaimana nasib mereka ketika hujan. Adakah letih dan kebasahan?

N.I.N.A
[06.07.2017]