Saturday, October 31, 2020

PUISI : 103. Pergilah Kenangan

Cuba melupakan, tapi tetap melekat di ingatan..
Kuat dan padu, seperti digam UHU..

Tak semua perkara ingin aku kenang..
Ada yang cuba aku buang..
Tapi sayang, ia bagaikan bayang- bayang..
Tiap masa mengekori meskipun diusir pergi..
Tiap masa memunculkan diri meskipun tak diingini..

Pergilah engkau, wahai secebis kenangan..
Aku buang bukan kerana aku kejam..
Tapi aku tak mahu terus hanyut oleh kisah silam..
Cukuplah memori yang meninggalkan pelbagai kesan..
Hingga aku terkadang rapuh untuk terus bertahan..
Biarkan aku melangkah ke hadapan..
Dengan tenang dan dalam senyuman..

           MekNina
#SiPengayatSukahati

31.10.2020


Monday, October 26, 2020

#PUISI : 102. Celiklah Matamu

Berdiri di bawah langit yang sama..
Berjalan di atas tanah yang serupa..
Tapi nasib diri tak pernah sama..
Jalan hidup pasti berbeza..

Lihat dan teliti..
Fikir dan fahami..
Lain orang lain kisahnya..
Lain rumah lain aturannya..
Bukan meminta untuk merasai..
Cukup sekadar memahami..

Ada yang senang, tak pernah tenang..
Ada yang susah, tak pernah lelah..

Ada yang makannya sentiasa cukup..
Ada yang setiap masanya ikat perut..
Ada yang pakaiannya elegan lagi berjenama..
Ada yang acapkalinya berpakaian sama..
Jurang itu ada..
Kadang- kala terlihat ketara..
Jangan sampai retak terbelah dua..
Angkara berlainan darjat dan longgokan harta..
Manusia terperangkap dalam dunia berbeza..
Hidup dalam lingkungan kelas tersendiri..
Tangisan orang tak diambil peduli..
Asalkan terjaga kepentingan diri..

Pesanku..
Bantu yang lemah..
Bukan terbiar ditindas..
Jika masih berupaya melangkah..
Bersyukurlah..

Ada orang luarannya gagah, tapi dalamannya lemah..
Ada orang luarannya ceria, tapi dalamannya menyimpan duka..
Ada orang luarannya jadi hinaan, tapi dalam hati tak pernah berdendam..
Ada orang luarannya jadi pujaan, tapi dalam diam rupanya dipersendakan..

Pesanku..
Jangan mudah terpedaya..
Oleh mainan sepasang mata..
Jangan mudah berprasangka..
Kerna fitnah bebas berleluasa..

Celiklah matamu!

        MekNina
#SiPengayatSukahati

26.10.2020

APRESIASI PUISI KEMANUSIAAN SEDUNIA 2020
ANJURAN: PERSATUAN PEMUISI NASIONAL MALAYSIA
24 - 26 OKTOBER 2020

Sunday, October 25, 2020

PUISI : 101. Senyuman Menghilang

Makin lama, makin mahal senyumanku..
Tidak lagi pemurah, tetapi bukan juga kedekut..

Ukirkannya mudah..
Tapi, manisnya berkurang..
Terasa kelat..

Ke mana perginya..
Seakan menghilang segala seri..
Aku sendiri tak pasti..

Aku senyum..
Tapi hati tiada rasa..
Seolah- olah aku dipaksa..
Mengalahkan rasa kebas di pipi..
Kejung dan tertahan- tahan..
Bagaikan sakit mencucuk- cucuk di rahang..
Padahal, aku sendiri benar- benar mahu mengukirkan senyuman..
Yang manis lagi berseri..
Yang indah lagi menawan..

Mungkinkah kerana dalamanku banyak terluka?
Hingga terlupa rasa manisnya senyuman bak gula- gula..

Hanya yang benar teliti mampu merasai..
Senyumanku bukan lahir dari hati..
Bukan kerana tiada keikhlasan..
Tapi aku senyum dalam kepedihan..
Bukan kerana tiada keramahan..
Tapi aku senyum dalam kerapuhan..

Senyumanku..
Mampu mengaburi kelukaanku..
Tapi makin lama, ia makin menghilang..
Hampir terlihat beku ekspresi di wajahku..
Sedaya upaya aku cuba cairkan hati yang memandang..
Senjatanya pastilah ukiran ulahan bibir ini..
Biar hilang segala walang..
Walaupun ia hanyalah wayang..

           MekNina
#SiPengayatSukahati

25.10.2020
01.06 PG




Wednesday, October 21, 2020

PUISI : 100. Novel Tentangku

Novel kisah hidupku masih belum menemui kemuncaknya..
Tapi aku sudah tertanya- tanya bagaimana pengakhirannya..

Akulah watak utama dalam kisahku..
Dikelilingi watak sampingan yang bermacam ragam..
Menjadikan kisahku terkait pelbagai genre..
Bukan hanya satu, mohon tidak terkeliru..
Pembaca pasti beremosi, mohon tidak berhalusinasi..

Ada suka dan duka..
Ada jatuh dan bangun..
Ada rohani dan jasmani..
Ada seram dan komedi..
Ada romantis dan aksi..
Ada agama dan sensitiviti..
Begitu banyak jika hendak diperhalusi..
Pasti berombak emosi si pembaca..
Bagaikan si pelayar di tengah- tengah lautan..
Sesaat tenang bergelora, sesaat ganas berombak..
Sesaat bayu bertiup syahdu, sesaat ribut berteriak kencang..

Tapi sayangnya..
Novel kisah hidupku tidak aku karang..
Cukuplah sekadar aku yang kenang..
Tak mampu diceritakan satu per satu..
Cukuplah digarap dalam diari harianku..

Masih jauh lagi perjalanan..
Masih panjang lagi episod kehidupan..
Klimaksnya belum dapat dijangkakan..
Penamatnya belum temui garisan..
Andai saja umur masih dipanjangkan..
Semoga kisah hidupku penuh dengan pengajaran..
Aku mohon padaMu Tuhan..
Semoga riwayatku disirami kebahagiaan..

Ya Allah, izinkan..
Akhir memoriku adalah Kamu..
Akhir bacaanku adalah kitabMu..
Akhir kalamku adalah syahadahMu..

            MekNina
#SiPengayatSukahati

21.10.2020
23:42 MLM


Tuesday, October 20, 2020

PUISI : 99. Asma'ul Husna

99 nama disebut..
Dalam bahasa Arab tiap-tiap kalimahnya..
Punyai maksud yang begitu mulia..
Khusus dan teragung hanya untuk Dia..

99 nama disebut..
Segala kata menunjukkan sifatNya..
Puji- pujian ditaburkan padaNya..
Dialah pencipta, dialah pemilik alam semesta.

Asmaul husna itulah ia..
Nama- nama Allah itulah maknanya..
Dialah Yang Maha segala- galanya..
Jangan dipermainkan dengan kata- kata hina..

99 nama Allah, Tuhanku..
Sebutlah dengan alunan yang penuh merdu..
Hayatilah dengan jiwa yang terasa syahdu..
Ingatilah dengan hati yang terselit rindu..

        MekNina
#SiPengayatSukahati

20.10.2020
00:22 PG

Saturday, October 17, 2020

PUISI : 98. Penasihat Terbaik

Dialah penasihat yang terbaik..
Yang tahu menasihati..
Yang tahu memahami..
Yang sering memberi tunjuk ajar..
Yang sering melayan dengan sabar..

Tidak hanya penasihat terbaik..
Dia mampu menjadi pendengar yang baik..
Apatah lagi pencerita yang tak lokek..
Dialah juga pembimbing yang serba molek..

Aku serba kurang dia tetap pandang..
Aku banyak soalan dia tetap memberi jawapan..
Aku sukar membuat keputusan dia tetap meluahkan pandangan..
Aku culas memikul peranan dia tetap bagi peluang..

Aku tak mampu membalas jasa..
Aku cuma mampu berdoa..
Agar dilimpah kesejahteraan buatnya..
Si penasihat yang banyak jasanya..

Sampai masanya..
Aku bukan lagi bawah bimbingannya..
Namun dia tetap penasihat yang terbaik selamanya..

         MekNina
#SiPengayatSukahati

17.10.2020
05:15 PTG

▪️▪️▪️▪️▪️▪️▪️▪️▪️▪️▪️▪️▪️▪️▪️

Tak lama dah. Tinggal sikit je lagi masa untuk aku. Aku bakal merindui perananku sebgai ketua, yang bakal aku lepaskan. Aku tahu banyak kekurangan aku, tapi segala pengalaman aku telah aku lalui bakal jadi kenangan manis untuk aku.



Monday, October 12, 2020

PUISI : 97. Pantun Buatmu

Makan roti, cicah susu..
Dalam hati, hanya kau yang satu..
Tapi sayang sekali, kau tidak tahu..

Makan nasi, cicah budu..
Dalam hati, kau yang aku rindu..
Tak pernah henti, tak pernah jemu..

Makan kari, guna sudu..
Dalam hati, rasa tak menentu..
Aku tercari- cari, aku tertunggu- tuggu..

Makan maggi, guna garfu..
Dalam hati, ada segan padamu..
Hendak mendekati, tiada keyakinan dalam diriku..

           MekNina
#SiPengayatSukahati

12.10.2020
12.47 TGH HR

Friday, October 9, 2020

PUISI : 96. Akhirnya Tersingkap

Telah lama aku mencari tahu..
Tentang dirimu yang tak mampu aku jejaki..
Hingga akhirnya aku menjadi buntu..
Lalu pasrah bersalutkan kecewa di hati..

Tahun demi tahun telah berganti..
Tetap jua kau bersembunyi..
Seolah tahu aku bakal mencari..
Kau kunci dirimu dengan begitu rapi..
Di sebalik tembok yang tak mampu perhati..
Apatah lagi untuk ditembusi..

Aku tidak mengalah..
Kerana hatiku tetap berkeras..
Aku tetap mencuba..
Hingga akhirnya aku yang tewas..
Tewas pada emosi sendiri..
Terkejut, sedih dan gembira bercampur sekali..
Apabila ianya bukan lagi bisikan harapan..
Tetapi realiti yang muncul di pandangan..
Tiada lagi persembunyian..
Kau sudah ketahuan..

Akhirnya tersingkap..
Kau sudah mampu aku jejaki..
Cuma aku pula yang tak mampu mendekati..
Cukuplah sekadar tahu kau masih di sini..
Dari jauh aku jadi pemerhati..
Tanpa kau tahu aku setia begini..

           MekNina
#SiPengayatSukahati

09.10.2020
03:17 PG

✨✨✨✨✨✨✨✨✨✨
Akhirnya.......... @




Monday, October 5, 2020

DIARI : 24. Jiji aka GG - Kucing sakit

Jiji.. GG.. Sedih bila teringat kat dia.. Tak pasal- pasal aku menangis.. Dia sakit... Sakitttt sangat.. Angkara musang 'durjana'.. Si kucing comel menjadi mangsa..

Aku tak boleh lupa nanah dia yg mengalir sampai ke lantai.. Aku lap dengan penuh emosi.. Awalnya nanah itu disangka muntah.. Dia juga menjilat badan yang terkena lelehan nanahnya.. Sudah tembus badan dia.. Ternampak isi dalamnya..

Aku tak boleh lupa rasa tulang badan dia.. Dia dah semakin kurus.. Sangat kurus.. Sebelum ni dia yg cepat membesar daripada Kiki. Sebab tu nama dia GG sempena gelaran Gemuk.. Nama yg diberi oleh adik aku.. Perut yang begitu bulat dan nampak lucu.. Dialah yang banyak makan tapi kini tak lagi.. Sikit pon susah untuk dijamah..

Aku tak boleh lupa kemanjaan dia.. Saat dia perlahan- perlahan naik ke atas pangkuan aku yang bersila depan dia.. Satu kaki dia sakit.. Luka yang agak besar dan isi.. Jalannya terhencut- hencut bertongkatkan kaki yang lain.. Dulu dia tak semanja kini.. Orang pegang sekejap, kemain mahu loloskan diri pergi bermain ikut suka hati..

Aku tak boleh lupa bagaimana aktifnya dia dlu.. Segala benda dia nak main.. Segala benda dia nak kejar lagi- lagi lipas.. Dia suka sangat main- main dengan alas kaki kat dapur.. Sampai tergolek- golek badan dia dalam lipatan alas kaki.. Setiap masa asyik kena betulkan alas kaki, sampai umi pon dah banyak kali tegur GG.. Tapi dia tetap ralit melompat- lompat dan menikus kat alas kaki tu.. Kadang- kadang orang hampir terpijak dia sebab syok baring kat situ.. Tapi kini tak lagi.. Dia dah senyap dan banyak berdiam diri.. Tak lagi bermain sebegitu..

Aku tak boleh lupa akan kekuatan dia.. Sering saja dia berlawan dengan si Kiki yang lebih kecil, jadi pastilah Kiki akan mudah terperangkap di bawah dia.. Sampai terkapai- kapai si Kiki ingin melawan dan melepaskan diri.. Itulah yang berlaku tiap kali Kiki geramkan ekor panjangnya dan dia diterkam dalam diam.. Penyudahnya Kiki tewas.. Tapi kini tak lagi.. Kiki bergurau, Kiki usik ekor, tapi GG hanya biarkan..

Aku tak boleh lupa.. Bulatnya mata dia.. Nampak menarik dengan perwatakannya yang aktif.. Kadang wajah dan badannya mengingatkan aku pada si Milu, bapanya.. Tapi kini tak lagi.. Mata itu makin tak bercahaya.. Selalu terpejam dan tak bermaya.. Wajah yang suram, badan yang semakin lemah..

Aku doakan kau sembuh Jiji aka GG aka Gemuk yang sangat kurus kini.. (Kat plastik ubat dia, tertulis nama Gigi. Apa- apa je la Ji..) Hurmmmm.. Sedih..

05.10.2020