Thursday, December 31, 2020

DIARI : 25. Pemergian Kiki

Hanya beberapa bulan sempat bersama, Kiki si berbulu yang comel akhirnya meninggalkan kami sekeluarga tanpa disangka- sangka. Wahai Kiki, sebagaimana kehadiranmu tak dijangka, begitulah jua pemergianmu yang tak diduga.

Dibawa oleh pulang oleh Milu si bapanya selepas dilahirkan. Setelah itu, Jiji pula dibawa pulang. Agak kekok pada mulanya untuk membelai si comel yang agak kecil dan begitu takut untuk didekati. Tapi kami sekeluarga tetap bela dan jaga dengan sebaiknya.

7 Disember 2020 malam. Kira- kira tengah malam. Khabaran sedih diterima. 'Kiki dah mati. Kiki eksiden.' Sungguh sedih. Begini rupanya perasaan pembela atau pencinta binatang yang kehilangan belaannya. Tak dapat aku lupakan saat- saat terakhir kami bersama. Kiki yang cuba bermanja meskipun aku tengah sibuk membuat kerja. Aku juga tak perasan kelibat Kiki menghilang malam tu. Ingatkan berkeliaran di kawasan rumah. Rupa- rupanya ada tragedi yang menimpa dia. 

Sesudah beberapa ketika dia menghilang, Kiki ditemukan dalam keadaan yang kaku dan berlumuran darah. Kiki, kaulah antara kenangan yang terindah hadir dalam hidupku untuk tahun 2020. 

Friday, December 25, 2020

PUISI : 107. Usah Lepaskan

Pegang,
Jangan lepaskan!

Genggam,
Jangan leraikan!

Ikat,
Jangan putuskan!

Biarkan tangan kita bertaut kemas..
Tetap erat dan utuh bersatu padu..
Walau jalan yang ditelusuri penuh liku..
Sama- sama bertahan meskipun banyak rintangan..

Setiap saat, minit dan jam yang berdetik..
Ada sahaja yang cuba mengusik..
Kalau tercuit, pasti termelatah..
Bimbang tak terkawal lalu timbul masalah..

Sekiranya,
Hampir terburai sebuah tali ikatan..
Segera ketatkan sebelum terlerai..
Sekiranya,
Ada kekusutan pada utas talinya..
Betulkan punca sebelum kusut sepenuhnya..

           MekNina
#SiPengayatSukahati

25.12.2020

✍️ Cetusan idea : Turkish Drama - Elimi Bırakma

Monday, November 23, 2020

PUISI : 106. Didatangi Penyakit

Penyakit itu bermacam jenis..
Datangnya dari pelbagai punca..
Kesannya bermacam rupa..

Perubahan fizikal hanya diri yang menyedari..
Kesakitan dalaman hanya diri yang merasai..

Siapa sahaja yang meminta penyakit..
Sedangkan elok sihat itu satu nikmat..

Siapa sahaja yang sanggup terlantar lesu..
Sedangkan hakikatnya bermacam hal ingin dilaksana..

Siapa sahaja yang ingin menelan bermacam pil..
Sedangkan banyak lagi makanan lazat ingin dijamu..

Siapa sahaja ingin dicucuk sana sini..

Siapa sahaja ingin kelihatan lemah..

Buat semua yang diuji..
Semoga sembuh dan pulih kembali..
Tabahlah dan kuatkan semangat diri..
Semoga ada sinar harapan untukmu nanti..

           MekNina
#SiPengayatSukahati

23.11.2020


Wednesday, November 18, 2020

PUISI : 105. Tiba Masanya

Tiba masanya untuk melepaskan..
Bukan bermakna terus menghilang..
Tetap ada biarpun berselindung di belakang..

Sudah masanya ada pengganti..
Menjadi penyambung sebuah legasi..
Terima kasih untuk segala memori..
Semoga segalanya dipermudahkan Ilahi..

          MekNina
#SiPengayatSukahati

MESYUARAT AGUNG TAHUNAN PSSCMUUM KALI KE-35
ANJURAN: PERSATUAN SENI SILAT CEKAK MALAYSIA UNIVERSITI UTARA MALAYSIA
17 NOV 2020


Thursday, November 12, 2020

PUISI : 104. Lingkaran Trauma

Peristiwa hitam yang pernah dilalui....
Meninggalkan kudis yang berparut di hati..

Sakit untuk dikenang..
Perit untuk diulang tayang..

Dulu tangisan jadi luahan..
Kini air mata jadi kebencian..

Keras sudah hati membeku..
Dicair kembali adakah mampu..

Lekuk senyuman kian menghilang..
Yang ada pandangan tajam menikam..

Hadirnya seseorang menjadi pendamping..
Kerana bersebab mereka terikat..

Siapa tahu si beku mula mencair..
Dek terkena kehangatan haba si pendamping..

Siapa tahu hati kerasnya dah melembut..
Tetapi dilema menggunung kerana trauma masih membusut..

Pergilah trauma..
Usah melingkari dirinya lagi..
Biarkan dia tersenyum kembali..
Hidup harmoni bersama kesayangan hati..

            MekNina
#SiPengayatSukahati

12.11.2020
06:38 PTG

⚠️ Cetusan idea : Turkish Drama - Emanet aka Legacy #SehYam

Saturday, October 31, 2020

PUISI : 103. Pergilah Kenangan

Cuba melupakan, tapi tetap melekat di ingatan..
Kuat dan padu, seperti digam UHU..

Tak semua perkara ingin aku kenang..
Ada yang cuba aku buang..
Tapi sayang, ia bagaikan bayang- bayang..
Tiap masa mengekori meskipun diusir pergi..
Tiap masa memunculkan diri meskipun tak diingini..

Pergilah engkau, wahai secebis kenangan..
Aku buang bukan kerana aku kejam..
Tapi aku tak mahu terus hanyut oleh kisah silam..
Cukuplah memori yang meninggalkan pelbagai kesan..
Hingga aku terkadang rapuh untuk terus bertahan..
Biarkan aku melangkah ke hadapan..
Dengan tenang dan dalam senyuman..

           MekNina
#SiPengayatSukahati

31.10.2020


Monday, October 26, 2020

#PUISI : 102. Celiklah Matamu

Berdiri di bawah langit yang sama..
Berjalan di atas tanah yang serupa..
Tapi nasib diri tak pernah sama..
Jalan hidup pasti berbeza..

Lihat dan teliti..
Fikir dan fahami..
Lain orang lain kisahnya..
Lain rumah lain aturannya..
Bukan meminta untuk merasai..
Cukup sekadar memahami..

Ada yang senang, tak pernah tenang..
Ada yang susah, tak pernah lelah..

Ada yang makannya sentiasa cukup..
Ada yang setiap masanya ikat perut..
Ada yang pakaiannya elegan lagi berjenama..
Ada yang acapkalinya berpakaian sama..
Jurang itu ada..
Kadang- kala terlihat ketara..
Jangan sampai retak terbelah dua..
Angkara berlainan darjat dan longgokan harta..
Manusia terperangkap dalam dunia berbeza..
Hidup dalam lingkungan kelas tersendiri..
Tangisan orang tak diambil peduli..
Asalkan terjaga kepentingan diri..

Pesanku..
Bantu yang lemah..
Bukan terbiar ditindas..
Jika masih berupaya melangkah..
Bersyukurlah..

Ada orang luarannya gagah, tapi dalamannya lemah..
Ada orang luarannya ceria, tapi dalamannya menyimpan duka..
Ada orang luarannya jadi hinaan, tapi dalam hati tak pernah berdendam..
Ada orang luarannya jadi pujaan, tapi dalam diam rupanya dipersendakan..

Pesanku..
Jangan mudah terpedaya..
Oleh mainan sepasang mata..
Jangan mudah berprasangka..
Kerna fitnah bebas berleluasa..

Celiklah matamu!

        MekNina
#SiPengayatSukahati

26.10.2020

APRESIASI PUISI KEMANUSIAAN SEDUNIA 2020
ANJURAN: PERSATUAN PEMUISI NASIONAL MALAYSIA
24 - 26 OKTOBER 2020

Sunday, October 25, 2020

PUISI : 101. Senyuman Menghilang

Makin lama, makin mahal senyumanku..
Tidak lagi pemurah, tetapi bukan juga kedekut..

Ukirkannya mudah..
Tapi, manisnya berkurang..
Terasa kelat..

Ke mana perginya..
Seakan menghilang segala seri..
Aku sendiri tak pasti..

Aku senyum..
Tapi hati tiada rasa..
Seolah- olah aku dipaksa..
Mengalahkan rasa kebas di pipi..
Kejung dan tertahan- tahan..
Bagaikan sakit mencucuk- cucuk di rahang..
Padahal, aku sendiri benar- benar mahu mengukirkan senyuman..
Yang manis lagi berseri..
Yang indah lagi menawan..

Mungkinkah kerana dalamanku banyak terluka?
Hingga terlupa rasa manisnya senyuman bak gula- gula..

Hanya yang benar teliti mampu merasai..
Senyumanku bukan lahir dari hati..
Bukan kerana tiada keikhlasan..
Tapi aku senyum dalam kepedihan..
Bukan kerana tiada keramahan..
Tapi aku senyum dalam kerapuhan..

Senyumanku..
Mampu mengaburi kelukaanku..
Tapi makin lama, ia makin menghilang..
Hampir terlihat beku ekspresi di wajahku..
Sedaya upaya aku cuba cairkan hati yang memandang..
Senjatanya pastilah ukiran ulahan bibir ini..
Biar hilang segala walang..
Walaupun ia hanyalah wayang..

           MekNina
#SiPengayatSukahati

25.10.2020
01.06 PG




Wednesday, October 21, 2020

PUISI : 100. Novel Tentangku

Novel kisah hidupku masih belum menemui kemuncaknya..
Tapi aku sudah tertanya- tanya bagaimana pengakhirannya..

Akulah watak utama dalam kisahku..
Dikelilingi watak sampingan yang bermacam ragam..
Menjadikan kisahku terkait pelbagai genre..
Bukan hanya satu, mohon tidak terkeliru..
Pembaca pasti beremosi, mohon tidak berhalusinasi..

Ada suka dan duka..
Ada jatuh dan bangun..
Ada rohani dan jasmani..
Ada seram dan komedi..
Ada romantis dan aksi..
Ada agama dan sensitiviti..
Begitu banyak jika hendak diperhalusi..
Pasti berombak emosi si pembaca..
Bagaikan si pelayar di tengah- tengah lautan..
Sesaat tenang bergelora, sesaat ganas berombak..
Sesaat bayu bertiup syahdu, sesaat ribut berteriak kencang..

Tapi sayangnya..
Novel kisah hidupku tidak aku karang..
Cukuplah sekadar aku yang kenang..
Tak mampu diceritakan satu per satu..
Cukuplah digarap dalam diari harianku..

Masih jauh lagi perjalanan..
Masih panjang lagi episod kehidupan..
Klimaksnya belum dapat dijangkakan..
Penamatnya belum temui garisan..
Andai saja umur masih dipanjangkan..
Semoga kisah hidupku penuh dengan pengajaran..
Aku mohon padaMu Tuhan..
Semoga riwayatku disirami kebahagiaan..

Ya Allah, izinkan..
Akhir memoriku adalah Kamu..
Akhir bacaanku adalah kitabMu..
Akhir kalamku adalah syahadahMu..

            MekNina
#SiPengayatSukahati

21.10.2020
23:42 MLM


Tuesday, October 20, 2020

PUISI : 99. Asma'ul Husna

99 nama disebut..
Dalam bahasa Arab tiap-tiap kalimahnya..
Punyai maksud yang begitu mulia..
Khusus dan teragung hanya untuk Dia..

99 nama disebut..
Segala kata menunjukkan sifatNya..
Puji- pujian ditaburkan padaNya..
Dialah pencipta, dialah pemilik alam semesta.

Asmaul husna itulah ia..
Nama- nama Allah itulah maknanya..
Dialah Yang Maha segala- galanya..
Jangan dipermainkan dengan kata- kata hina..

99 nama Allah, Tuhanku..
Sebutlah dengan alunan yang penuh merdu..
Hayatilah dengan jiwa yang terasa syahdu..
Ingatilah dengan hati yang terselit rindu..

        MekNina
#SiPengayatSukahati

20.10.2020
00:22 PG

Saturday, October 17, 2020

PUISI : 98. Penasihat Terbaik

Dialah penasihat yang terbaik..
Yang tahu menasihati..
Yang tahu memahami..
Yang sering memberi tunjuk ajar..
Yang sering melayan dengan sabar..

Tidak hanya penasihat terbaik..
Dia mampu menjadi pendengar yang baik..
Apatah lagi pencerita yang tak lokek..
Dialah juga pembimbing yang serba molek..

Aku serba kurang dia tetap pandang..
Aku banyak soalan dia tetap memberi jawapan..
Aku sukar membuat keputusan dia tetap meluahkan pandangan..
Aku culas memikul peranan dia tetap bagi peluang..

Aku tak mampu membalas jasa..
Aku cuma mampu berdoa..
Agar dilimpah kesejahteraan buatnya..
Si penasihat yang banyak jasanya..

Sampai masanya..
Aku bukan lagi bawah bimbingannya..
Namun dia tetap penasihat yang terbaik selamanya..

         MekNina
#SiPengayatSukahati

17.10.2020
05:15 PTG

▪️▪️▪️▪️▪️▪️▪️▪️▪️▪️▪️▪️▪️▪️▪️

Tak lama dah. Tinggal sikit je lagi masa untuk aku. Aku bakal merindui perananku sebgai ketua, yang bakal aku lepaskan. Aku tahu banyak kekurangan aku, tapi segala pengalaman aku telah aku lalui bakal jadi kenangan manis untuk aku.



Monday, October 12, 2020

PUISI : 97. Pantun Buatmu

Makan roti, cicah susu..
Dalam hati, hanya kau yang satu..
Tapi sayang sekali, kau tidak tahu..

Makan nasi, cicah budu..
Dalam hati, kau yang aku rindu..
Tak pernah henti, tak pernah jemu..

Makan kari, guna sudu..
Dalam hati, rasa tak menentu..
Aku tercari- cari, aku tertunggu- tuggu..

Makan maggi, guna garfu..
Dalam hati, ada segan padamu..
Hendak mendekati, tiada keyakinan dalam diriku..

           MekNina
#SiPengayatSukahati

12.10.2020
12.47 TGH HR

Friday, October 9, 2020

PUISI : 96. Akhirnya Tersingkap

Telah lama aku mencari tahu..
Tentang dirimu yang tak mampu aku jejaki..
Hingga akhirnya aku menjadi buntu..
Lalu pasrah bersalutkan kecewa di hati..

Tahun demi tahun telah berganti..
Tetap jua kau bersembunyi..
Seolah tahu aku bakal mencari..
Kau kunci dirimu dengan begitu rapi..
Di sebalik tembok yang tak mampu perhati..
Apatah lagi untuk ditembusi..

Aku tidak mengalah..
Kerana hatiku tetap berkeras..
Aku tetap mencuba..
Hingga akhirnya aku yang tewas..
Tewas pada emosi sendiri..
Terkejut, sedih dan gembira bercampur sekali..
Apabila ianya bukan lagi bisikan harapan..
Tetapi realiti yang muncul di pandangan..
Tiada lagi persembunyian..
Kau sudah ketahuan..

Akhirnya tersingkap..
Kau sudah mampu aku jejaki..
Cuma aku pula yang tak mampu mendekati..
Cukuplah sekadar tahu kau masih di sini..
Dari jauh aku jadi pemerhati..
Tanpa kau tahu aku setia begini..

           MekNina
#SiPengayatSukahati

09.10.2020
03:17 PG

✨✨✨✨✨✨✨✨✨✨
Akhirnya.......... @




Monday, October 5, 2020

DIARI : 24. Jiji aka GG - Kucing sakit

Jiji.. GG.. Sedih bila teringat kat dia.. Tak pasal- pasal aku menangis.. Dia sakit... Sakitttt sangat.. Angkara musang 'durjana'.. Si kucing comel menjadi mangsa..

Aku tak boleh lupa nanah dia yg mengalir sampai ke lantai.. Aku lap dengan penuh emosi.. Awalnya nanah itu disangka muntah.. Dia juga menjilat badan yang terkena lelehan nanahnya.. Sudah tembus badan dia.. Ternampak isi dalamnya..

Aku tak boleh lupa rasa tulang badan dia.. Dia dah semakin kurus.. Sangat kurus.. Sebelum ni dia yg cepat membesar daripada Kiki. Sebab tu nama dia GG sempena gelaran Gemuk.. Nama yg diberi oleh adik aku.. Perut yang begitu bulat dan nampak lucu.. Dialah yang banyak makan tapi kini tak lagi.. Sikit pon susah untuk dijamah..

Aku tak boleh lupa kemanjaan dia.. Saat dia perlahan- perlahan naik ke atas pangkuan aku yang bersila depan dia.. Satu kaki dia sakit.. Luka yang agak besar dan isi.. Jalannya terhencut- hencut bertongkatkan kaki yang lain.. Dulu dia tak semanja kini.. Orang pegang sekejap, kemain mahu loloskan diri pergi bermain ikut suka hati..

Aku tak boleh lupa bagaimana aktifnya dia dlu.. Segala benda dia nak main.. Segala benda dia nak kejar lagi- lagi lipas.. Dia suka sangat main- main dengan alas kaki kat dapur.. Sampai tergolek- golek badan dia dalam lipatan alas kaki.. Setiap masa asyik kena betulkan alas kaki, sampai umi pon dah banyak kali tegur GG.. Tapi dia tetap ralit melompat- lompat dan menikus kat alas kaki tu.. Kadang- kadang orang hampir terpijak dia sebab syok baring kat situ.. Tapi kini tak lagi.. Dia dah senyap dan banyak berdiam diri.. Tak lagi bermain sebegitu..

Aku tak boleh lupa akan kekuatan dia.. Sering saja dia berlawan dengan si Kiki yang lebih kecil, jadi pastilah Kiki akan mudah terperangkap di bawah dia.. Sampai terkapai- kapai si Kiki ingin melawan dan melepaskan diri.. Itulah yang berlaku tiap kali Kiki geramkan ekor panjangnya dan dia diterkam dalam diam.. Penyudahnya Kiki tewas.. Tapi kini tak lagi.. Kiki bergurau, Kiki usik ekor, tapi GG hanya biarkan..

Aku tak boleh lupa.. Bulatnya mata dia.. Nampak menarik dengan perwatakannya yang aktif.. Kadang wajah dan badannya mengingatkan aku pada si Milu, bapanya.. Tapi kini tak lagi.. Mata itu makin tak bercahaya.. Selalu terpejam dan tak bermaya.. Wajah yang suram, badan yang semakin lemah..

Aku doakan kau sembuh Jiji aka GG aka Gemuk yang sangat kurus kini.. (Kat plastik ubat dia, tertulis nama Gigi. Apa- apa je la Ji..) Hurmmmm.. Sedih..

05.10.2020

Tuesday, September 29, 2020

PUISI : 95. Aku Sakit

Sampai bila aku harus mengusung sakit ini?
Sakit dibenci oleh insan yang kukira rapat..
Tapi berjarak, tak mampu untukku mendekat..

Setiap tingkahku..
Sering dikritik dan dicemuhi...
Sakitnya aku, bertahan sejak dulu lagi..

Menggigil badanku..
Menahan getaran kesakitan..
Bukan di badan, tapi di emosi dan hati yang terdalam..

Aku tahu aku bukan yang diingini..
Tak pernah dikasihi apatah lagi disayangi..
Hanya didekati demi kepentingan sendiri..
Bukan dari hati yang penuh rasa cinta dan peduli..

Apa yang aku mahu diprotes dan diabai sekerasnya..
Tanpa memikirkan perasaan ini..
Apa yang dia mahu jangan diprotes sesekali..
Kelak merana mendengar ulahan mulutnya yang enak mencaci..
Hampir gila aku jadinya..

Aku dibandingkan tanpa aku sedar apa kurangnya aku..
Aku dibiarkan tanpa kehadirannya di setiap kesusahanku..
Aku diabaikan tanpa belaiannya di setiap kesakitanku..
Aku dikecewakan tanpa pelukannya di setiap kejayaanku..

Di saat jiwaku hampir mati..
Hanya tangisan yang menemani..

Di ruang ini aku bersendiri..
Jauh dari wajah dan suara yang menyakiti..
Biarlah aku begini..
Mengubat luka seorang diri..
Mencari ketenangan dengan cara tersendiri..
Tak mahu bertentang mata dengan yang lain..
Kerana sukar untukku berinteraksi..
Tatkala senyuman kaku, tiada rasa manisnya..
Jiwa pula masih memberontak dan beremosi..
Silap percaturan, bunuh diri jadi pilihan..
Demi menghapuskan kesakitan yang tak pernah menghilang..
Nauzubillahiminzaalik!
Ingatlah Dia Yang Satu!!!

Mungkin tiada bahagia untukku dalam kehidupan ini..
Dulu dan kini..
Kesakitan ini aku tanggung sendiri..

MekNina
#SiPengayatSukahati

29.09.2020
Minggg



Monday, September 14, 2020

#CONTEST VIDEO : #RAYASAMASAMASAFI

Alhamdulillah..

Akaun ig @sipengayat.sukahati telah disenaraikan sebagai salah seorang pemenang saguhati oleh pihak Safi Malaysia. Kemenangan ini adalah bersempena sebuah video ringkas yang di muat naik di laman ig bertemakan #RayaSamaSamaSafi. 


Terima kasih atas peluang ini dan juga pemberian beberapa produk dari jenama Safi sebagai hadiah. Ada yang belum pernah dicuba. Tak sabar nak guna!

Friday, September 4, 2020

PUISI : 94. Tak Setandingmu

Jika diukur jurang antara kita..
Pastinya jauh..
Luas dan ketara jaraknya..

Aku sedar akan kedudukan diriku..
Langsung tak setanding parasmu..
Kau punya banyak kelebihan..
Aku pula serba kekurangan..
Ibarat letak duduknya anak tangga..
Kau yang teratas..
Aku pula yang terbawah..

Tapi hati tetap berdegil..
Ingin berdiri sama tinggi..
Duduk sama rendah dengan dirimu..

Sedarlah wahai diri..
"Kau bukan tandingannya"..
Simpanlah keinginan itu..
Jika tersurat takdir dariNya..
Yang mustahil boleh jadi sebaliknya..

          MekNina
#SiPengayatSukahati

04.09.2020

✨✨✨✨✨✨✨✨✨✨

CEO vs Tauke besar



Tuesday, August 11, 2020

PUISI : 93. Sekadar Mimpi

Mungkin kerana tak pernah hilang dari ingatan..
Engkau hadir dalam mimpi jadi peneman..
Lena tidurku biarpun berulitkan igauan..
Kerana kemunculanmu itu ibarat pengubat kerinduan..

Di saat terjaga..
Aku tersenyum bahagia..
Biarpun sekadar mimpi..
Sudah cukup membuatkan aku senang hati..

Tapi aku mengerti..
Ia hanyalah sekadar mimpi..
Segala yang berlaku terhapus tanpa bukti..
Hanya aku yang mengingati..
Tanpa sesiapa yang menjadi saksi..
Cukuplah Dia satu-satunya jadi saksi..
Kerana Dia Yang Maha Mengetahui..

Di kala aku cuma bermimpi..
Terselit jua harapan agar ia menjadi realiti..
Walaupun aku tahu pastinya jauh panggang dari api..

           MekNina
#SiPengayatSukahati

✨✨✨✨✨✨✨✨✨✨


Saturday, July 25, 2020

PUISI: 92. Rindu, Sayang dan Cinta

Rindu..
Tak akan jemu..
Kan terus begitu..
Hanyalah padamu..

Sayang..
Tak akan memudar..
Kan terus memekar..
Adakah kau sedar..

Cinta..
Tak akan terpadam..
Kan terus terpendam..
Untuk kau seorang..

Aku..
Rindu, sayang dan cinta..
Kamu..

         MekNina
#SiPengayatSukahati

Boleh jadikan lagu tak?

Saturday, July 18, 2020

PUISI : 91. Harta Pusaka

Adik beradik bergaduh sesama sendiri..
Saudara mara bersengketa berhari- hari..
Semuanya kerana harta yang bakal diwarisi..

Kerana harta, binasa ahli keluarga..
Sanggup berbunuhan tanpa belas kasihan..
Tikam belakang ibarat bahan gurauan..
Fitnah memfitnah jadi sajian harian..

Tak boleh lebih, tak boleh kurang..
Kelak ada yang jadi mangsa amukan..

Harta pusaka..
Jadi warisan ahli keluarga..
Untuk diuruskan dengan sebaiknya..
Demi kelangsungan hidup yang sejahtera..
Sayangnya ada yang salah guna..
Ada juga yang tamak haloba..

Apabila harta jadi rebutan..
Maka, keluarga jadi taruhan..

            MekNina
#SiPengayatSukahati

Cetusan idea: Lakorn (Thai Drama) - Sapai Import


Friday, July 17, 2020

PUISI : 90. Ehhh Biadapnya

Ehhh..
Sesuka hati memaki..
Sesuka hati mencaci..
Tapi lagaknya ingin dihormati..

Ehhh..
Muka bukan main beriak bengis..
Bicara lantang langsung tak bertapis..
Tingkah biadap terlihat sungguh sadis..
Tapi hendak disanjung mengalahkan artis..

Wahai saudaraku..
Tenang dahulu..
Cakap jangan melulu..
Langkah jangan terburu- buru..
Barulah orang senang berinteraksi denganmu..
Tidaklah meluat melihatkan panas baranmu..

         MekNina
#SiPengayatSukahati

Tolonglah jangan mengherdik orang sesuka hati. 😌

Tuesday, July 14, 2020

PUISI : 89. Belum Terlambat

Masih ada ruang..
Untuk saling bermaaf- maafan..

Masih ada waktu..
Untuk saling melepaskan rindu..

Cuma yang membataskan adalah dendam di hati..
Kuat mencengkam sehingga kemas membaluti..
Adakah mungkin untuk terlerai kekusutan dendam ini?

Fikirlah sejenak..
Tanpa dendam mengawal emosi..

Tatkala masih belum terlambat..
Bertindaklah sebelum terlewat..
Walau hanya untuk sesaat..
Bimbang sesal ditanggung ke akhir hayat..

          MekNina
#SiPengayatSukahati


Cetusan Idea : Lakorn - Trabarb See Chompoo





Sunday, July 12, 2020

PUISI : 88. Dambaan Hati

Jika ditanya sama hati..
Pasti saja bermacam- macam jawapannya..
Hendak itu..
Hendak ini..

Tanya pula pada diri..
Mampukah laksana impian hati..
Bermacam perkara didamba olehnya..
Sehingga tak terduga oleh yang mendengarnya..

Wahai hati..
Kau sering mendambakan itu dan ini..
Moga satu hari nanti..
Diri ini mampu laksana..
Sebagaimana yang tak henti- henti kau damba..

Tapi, satu perkara yang paling kudamba..
Aku inginkan bahagia..

            MekNina
#SiPengayatSukahati

PUISI : 87. Jangan Ubah

Lumrah sebagai perempuan..
Jangan sampai jadi lelaki jadian..

Fitrah sebagai lelaki..
Jangan sampai bertukar identiti..

Jangan kau ubah..
Kalau terbabas sudah..
Kembalilah ke pangkal jalan..
Selagi cabang taubat masih luas terbentang..

Hiduplah sebagaimana ditentukan..
Jangan sampai dilaknat Tuhan..

           MekNina
#SiPengayatSukahati

Saturday, June 20, 2020

#PUISI : 86. Ancaman Covid 19

Malang tak berbau..
Bahaya tak diundang..
Ancaman tak terduga..

Dalam tak nampak..
Dia merebak..
Dalam tak terlihat..
Dia merayap..

Sungguh sadis sekali..
Kerananya ramai terancam..
Kerananya ramai kesempitan..
Kerananya ramai kehilangan..
Kerananya ramai kegusaran..

Covid 19 gelarannya..
Sejenis virus yang mengancam nyawa..
Tidak terhapus sekelip mata..
Bahayanya mampu menakluki dunia..
Jika dipandang enteng terimalah padahnya..
Menjadi mangsa bila- bila masa..

Langkah berjaga demi keluarga..
Peraturan dilaksana demi bangsa..
Kawalan pergerakan demi negara..
Kita jaga kita jadi slogan semua..

Cukuplah wahai Covid 19..
Cukuplah menyakiti kami tanpa belas..
Semoga semuanya kembali pulih..
Aman sejahtera tanpa gejala...
Pinta hamba yang kerdil pada Yang Maha Berkuasa..

Husnina Zuraidi
16/06/2020
3.22 am

DEKLAMASI SAJAK SANTAI (DE- SANTAI)
ANJURAN: PERSATUAN KOMUNIKASI (PERKOM) UNIVERSITI UTARA MALAYSIA
20 JUN 2020

#PUISI: 85. Temanku SAFI

Wahai SAFI..
Dari sekolah engkau menemani..
Hinggalah aku ke alam universiti..
Tetap bersama tak pernah terpisah lagi..

Wahai SAFI..
Hampir sepuluh tahun engkau di sisi..
Datang yang lain cuba jadi pengganti..
Namun engkau tetap di hati..

Wahai SAFI..
Thanks for being my buddy..

MekNina
#SiPengayatSukahati

Ditulis khas buat produk penjagaan kulit dan wajah Safi sempena contest video #RayaSamaSamaSafi

#Raya2020
#CoveidRaya

Sunday, May 31, 2020

#PUISI: 84. Raikan Syawal

Setelah setahun berlalu..
Syawal kembali dirai..
Tanda kemenangan..
Sesudah Ramadan sebulan dilalui..

Syawal dirai..
Namun yang pasti..
Suasananya tak seperti sebelum ini..

Tahun ini..
Tak terjangkau dek fikiran..
Wabak datang menggegarkan dunia..
Membataskan segala perlakuan manusia..
Norma kehidupan juga sudah tidak seperti biasa..
Kerana jika tak diendah sewenangnya kita menjadi mangsa..

Meskipun begitu..
Syawal tetap dirai..
Suasana aidilfitri tetap menyinari sanubari..
Walau sederhana tidak mengapa..
Raya tetap raya..
Yang penting kita jaga kita..

           MekNina
#SiPengayatSukahati

31 MEI 2020
PENGUCAPAN PUISI LEBARAN 2020
ANJURAN: GABUNGAN PENULIS MUDA NEGERI KELANTAN (GEMA)

Thursday, April 30, 2020

#PUISI : 83. Ramadan Kembali Ditemui

Tanpa disedari..
Makin pantas waktu berlari- lari..
Hari ke hari bersilih ganti..
Bulan demi bulan berlalu pergi..

1441 Hijrah adalah tahun ini..
Ramadan adalah bulan ini..
Tak kusangka Ramadan kembali ditemui..
Setelah hampir setahun yang lalu ia menghilangkan diri..

Wahai Ramadan..
Engkaulah bulan yang penuh keberkatan..
Ramai umat Muhammad ternanti akan kehadiranmu..
Ramai juga yang sebak untuk berpisah denganmu..

Wahai Ramadan..
Kehadiranmu adalah salah satu jalan..
Untuk membuat seribu satu kebaikan..

Umat Islam patuh berpuasa sebagaimana kewajipan..
Umat Islam beramal ibadah tunduk menyembah Tuhan..
Manusia berlumba- lumba membuat amal kebajikan..
Manusia bersama- sama mensyukuri nikmat yang diberikan..

Hanya sebulan bertemu denganmu..
Nikmatnya terasa dan takkan aku jemu..
Setelah itu kau bakal pergi dari sisiku..
Sejujurnya, aku mungkin akan merindumu..

Wahai Ramadan..
Moga kita kembali bertemu di tahun akan datang..

        MekNina
#SiPengayatSukahati

30 APRIL 2020
MEMBACA PUISI RAMADAN SEDUNIA
ANJURAN: PEMUISI NASIONAL

Sunday, March 29, 2020

PUISI: 82. Datang Kembali

Sesak dadaku dilanda sebak..
Kerana rindu yang datang mengasak..

Aku kira kau telah aku lupa..
Lupa untuk selamanya..
Rupa- rupanya itu hanyalah dusta..
Aku masih tidak mampu..
Untuk melupakan segala- galanya tentangmu..

Kenapa?
Kenapa kembali?
Bayangmu kembali datang mengekori..
Sedangkan telah berkali- kali..
Aku cuba mengusir bayanganmu pergi..

Untuk apa?
Untuk apa aku kembali merindui?
Pada dirimu yang entah di mana..
Pada dirimu yang entah bersama siapa..
Pada dirimu yang tak pernah tahu rasa ini..
Pada dirimu yang tak pernah peduli kehadiran diri ini..

Andai saja kau turut merasai..
Segala perasaan yang telah aku lalui..

           MekNina
#SiPengayatSukahati

29.03.2020
⚠️ Asheghaneh

Saturday, February 1, 2020

PUISI : 81. Ingin Mati

Tekanan hidup..
Membuatkan aku ingin segera mati..

Terkapai- kapai aku..
Dalam lautan air mata sepi..
Lemas aku dilambung ombak keresahan..
Tak habis-habis datang..
Entah bilakah akan terhapus pergi..

Kiri kananku..
Hanya jaringan tohmahan..
Depan belakangku..
Hanya perangkap cacian..
Atas bawahku..
Hanya penjara makian..

Hatiku sakit..
Jiwaku pedih..
Ingin aku berteriak sekuat hati.. 
Melepaskan tekanan yang hebat dirasai..
Namun bibir hanya mampu..
Melepaskan bisikan keluhan..
Berkali-kali aku ucapkan, "Aku ingin mati."

Berdosa! 
Ya, aku tahu berdosa..
Tapi aku begitu terseksa..
Batinku hebat terdera..
Telah sekian lama aku menderita..
Cuma mampu dipendam sahaja..
Makin dipendam, makin aku kesakitan..
Sampai satu tahap..
Aku bagaikan insan yang hilang kewarasan..
Tersasar jauh diriku dari sebuah pedoman..

Wahai derita yang membaluti diri..
Pergilah engkau dari sisi..
Cukuplah menjerut diri ini.. 
Tak sanggup lagi diriku..
Berdepan tekanan demi tekanan..
Sejak aku kenal dunia ini..
Sampailah ke hari kedewasaan ini..
Tak habis-habis terdera perasaan ini..

Luaranku terlihat hanya biasa..
Dalamanku begitu hebat terluka..

Ingin aku segera mati..
Namun tak sanggup terima murka Ilahi..
Pintaku padaNya di dalam hati..
Moga bahagia milikku satu hari nanti..

          MekNina
#SiPengayatSukahati

01.02.2020
Minggg





Saturday, January 25, 2020

PUISI : 80. Pandanglah Aku

Serba kekurangankah diriku?
Hingga segalanya menjadi cacian buat dirimu..

Aku yang berhasrat menjadi kesukaanmu..
Hanya sekadar hasrat yang tersekat..
Tak mungkin kau pandang dekat..
Makin dipandang makin kau meluat..

Aku yang sering mendambakan kasihmu..
Hanya sekadar dambaan yang dipandang sepi..
Tak mungkin kau hiraukan sama sekali..
Sebesar zarah kasihmu begitu payah untuk diberi..
Bagaikan aku mengemis pada yang tak sudi..

Aku yang diibaratkan tiada nilai di matamu..
Tak mungkin kau berpaling memandangku..
Hati selalu menyeru, "Pandanglah aku!"
Kau berpaling..
Namun herdikan selalu aku terima..
Hati kembali memujuk, "Kau bukan sesiapa bagi dia. Cukuplah setakat itu!"

          MekNina
#SiPengayatSukahati 

25.01.2020 
Miiing..